Tuesday 1 July 2014

TEKS UCAPAN - PRESIDEN MAJLIS BELIA HINDU MALAYSIA DI PERSIDANGAN PERWAKILAN AGUNG TAHUNAN 2008 KALI KE 44

TEKS UCAPAN - PRESIDEN 
MAJLIS BELIA HINDU MALAYSIA
DI PERSIDANGAN PERWAKILAN AGUNG TAHUNAN 2008 KALI KE 44

Thiruchitrambalam
Namashivaya Vaahlga, Naathan Thaal Vaalga,
Imaipholuthum Yennenjil,
Neengahthaan Thaal Vaalga.

Salam Bahagia dan Salam Sejahtera

Para perwakilan yang dihormati, terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih diatas kehadiran tuantuan dan puan – puan ke persidangan Perwakilan Agung Tahunan Majlis Belia Hindu Malaysia Kali Yang Ke 44. Sekali lagi kita dapat bejumpa dalam persidangan ini yang akan dirasmikan oleh Penaung kita Yg. Bhg. Dato’ Seri S.Samy Vellu.

Para perwakilan yang dihormati, dalam masa sebulan lagi, kita semua akan menyambut tahun baru 2009 yang mana ianya merupakan suatu sejarah baru kepada belia kerana tahun 2009 adalah merupakan permulaan penguatkuasaan akta belia. Ianya jelas, iaitu semua pertubuhan belia, harus mendaftar di bawah pendaftar belia.

Bagi Majlis Belia Hindu Malaysia, kita juga sudah pun berbuat demikian dan dijangka akan menerima perakuan daripada Pendaftar Belia. Kita juga berharap agar semua pertubuhan belia hindu yang sedia ada, turut menyokong usaha kerajaan yang memperkenalkan akta belia.

Para Perwakilan yang dihormati, Majlis Belia Hindu Malaysia turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan yang sentiasa memberikan sokongan kepada pergerakan kita. Untuk makluman para perwakilan, sejak tahun lepas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), telah pun menyenaraikan HYO untuk turut menjayakan program sambutan Hari Belia Negara yang diraikan setiap 15hb. Mei dengan membenarkan kita mengadakan program mempromosi adat kebudayaan masyarakat kaum India, iaitu dengan menganjurkan pertandingan mereka cipta gubahan Kholam. Pertandingan yang diadakan pada tahun lepas, bukan sahaja disertai oleh belia kaum India, tetapi turut disertai oleh belia kaum melayu dan cina, dimana ianya telah memainkan peranan kepada aspek perpaduan. Kehadiran Menteri Belia dan Sukan, menyaksikan pertandingan tersebut telah turut memberikan pengiktirafan kepada HYO. Ini bermakna, setiap tahun KBS akan menyenaraikan HYO bagi mengadakan program pertandingan kholam dalam sambutan hari belia. Kita juga menyambut baik usaha KBS yang akan menerbitkan Radio Belia serta meluluskan beberapa program yang baru untuk dilaksanakan oleh pertubuhan belia mulai tahun hadapan kepada belia – belia di ladang, melalui Program Rakan Muda. Program berterusan tersebut, dijangka akan memberikan pendedahan yang baru kepada golongan belia.

Saya menyeru agar semua pertubuhan belia, mendapatkan maklumat tersebut serta mengambil bahagian dengan menganjurkan program tersebut. Kita juga memohon agar pihak KBS dapat menambahkan geran bantuan tahunan yang kini hanya diberikan kepada Persatuan Kebangsaan. Kita turut menyeru agar Geran bantuan pentadbiran turut diberikan kepada Jawatankuasa negeri agar memudahkan mereka menjalankan aktiviti pentadbiran. 

Tuan – tuan para perwakilan yang dihormati, baru-baru ini kerajaan telah pun mengumumkan akan memberikan perhatian serius terhadap masalah masyarakat kaum India.Kita amat berharap agar kerajaan serius dalam urusan pengambilan kakitangan kerajaan dari kalangan kaum India. Nampaknya walaupun usaha sedang dibuat oleh kerajaan, tetapi ianya tidak menunjukkan keberkesanaanya secara menyeluruh. Kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yg. Bhg. Dato’ Seri S.Samy Vellu, yang telah mengambil inisiatif untuk meminta kerajaan agar memandang serius masalah kaum India. Ianya telah membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinat bagi menangani masalah kaum India yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Kita juga memohon kepada YAB Perdana Menteri, agar dimasa akan datang, kita mempunyai sekurang-kurangya seorang Timbalan Menteri dari kalangan kaum India, di Kementerian Belia dan Sukan bagi mengambil langkah yang lebih efisen dalam soal pembangunan belia kaum India. Saya kira dengan adanya seorang Timbalan Menteri dari
kaum India, ia dijangka memberikan perangsang serta kekuatan kepada pergerakan belia kaum India serta kepada pergerakan sukan dikalangan kaum India.

Para perwakilan yang dihormati, agama merupakan amalan nilai moral yang tertinggi bagi sesuatu masyarakat. Walaubagaimana pun pada pendapat saya, kita tidak harus menampilkan diri kita dan bertindak agresif dalam sesuatu soal yang menyentuh masalah dan hak kebudayaan kaum India serta agama hindu, sebaliknya kita haruslah bersatu dan menentang secara satu suara, agar apa yang kita perjuangkan di kenali sebagai suara masyarakat kaum India pada keseluruhanya. Dalam soal ini, kita tidak harus lihat perbezaan dari segi politik dan kebudayaan.

Mengenai masalah Kuil, Kerajaan diminta mempercepatkan pemberian hak milik untuk Kuil agar jawatankuasa Kuil dapat menjalankan aktiviti dengan lebih berkesan. Kita cukup percaya banyak usaha telah dilakukan oleh Yg. Bhg. Dato’ Seri dan MIC untuk mengatasi masalah ini. Begitu juga dengan soal pendidikan, kita ucapkan terimakasih kepada kerajaan kerana telah mengumumkan akan menjadikan sekolah tamil sebagai sekolah bantuan penuh. Adalah diharapkan agar masalah yang berkaitan kekurangan peralatan serta ketidak selesaan bangunan dapat diatasi. Kita turut mengharapkan agar mata pelajaran tamil turut di wajibkan kepada semua pelajar kaum India di seluruh sekolah menengah serta menempatkan guru bahasa tamil di semua sekolah menengah yang mempunyai pelajar kaum India serta dijadikan matapelajaran dalam jadual waktu. Kita juga memohon kepada Kementerian Pelajaran agar melongarkan syarat dengan memberikkan kerjasama kepada pertubuhan-pertubuhan belia masyarakat kaum India agar dapat menjalankan aktiviti kepada pelajar sekolah kaum India. Pada masa ini, pertubuhan belia amat sukar mendapatkan kelulusan untuk menjalankan program kepada para pelajar kaum India di kawasan sekolah. Sekiranya kita dapat menjalankan program di sekolah, ini secara tidak langsung akan dapat menarik minat pelajar untuk menyertai persatuan belia selepas para palajar menamatkan alam persekolahan mereka. Ini akan membolehkan para belia sentiasa mengikuti pelbagai aktiviti persatuan belia dan secara tidak langsung mereka tidak akan terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat. Kita amat mengharapkan agar kelonggaran diberikan oleh pihak Kementerian Pelajaran dan memohon Yg. Bhg. Dato’ Seri turut membantu kami mengatasi masalah tersebut.

Para Perwakilan yang dihormati, Majlis Belia Hindu Malaysia juga telah membantu para belia mendapatkan pendidikan yang berasaskan kepada Latihan perindustrian terutamanya di IKBN serta lain-lain ILP dengan kerjasama Yayasan Strategik Sosial. Kita akan teruskan usaha ini agar para belia yang lepasan sekolah menengah serta yang tercicir, terus mendapat didikan perindustrian.

Para perwakilan yang dihormati, kekuatan kita adalah tuan-tuan dan puan-puan menerusi pertubuhan –
pertubuhan belia yang sedia ada. Kita akan terus menubuhkan Pertubuhan-Pertubuhan Belia Hindu selaras dengan kehendak KBS yang ingin melihat sebanyak mungkin pertubuhan belia di setiap kawasan taman perumahan, kampung, ladang serta bandar dan pecan kecil. Saya memohon agar para perwakilan akan bersikap positif dalam perkara ini demi kemajuan serta pembangunan golongan belia kaum India.
Sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua perwakilan dan pertubuhan – pertubuhan belia hindu di seluruh Negara yang telah menjayakan segala aktiviti Majlis Belia Hindu Malaysia sepanjang tahun 2007 dan juga yang telah membantu dalam segala aspek. Kehadiran Yg. Bhg. Dato’ Seri serta para jemputan dan perwakilan ke Persidangan Perwakilan Agung Tahunan Majlis Belia Hindu Malaysia Kali Yang Ke 44 amat kami hargai. Sokongan dan kerjasama Dato’ Seri serta para perwakilan, akan menjadi inspirasi kepada kami untuk terus memberikan sumbangan kepada pembangunan belia. 

Sekian Terima kasih.

Thursday 20 February 2014

PERSIDANGAN PERWAKILAN AGUNG TAHUNAN MAJLIS BELIA MALAYSIA






BERSAMA YAB MENTERI BESAR SELANGOR MERANGKAP
PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA


DELEGASI PERADAH INDONESIA BERSAMA TIMBALAN MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN DATO Dr.S.SUBRAMANIAM


SESI DIALOG BERSAMA 
YB DATO SERI MOHD NAJIB BIN TUN HJ. ABDUL RAZAK
BERHUBUNG PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA


Tuesday 11 February 2014

BULETIN MAJLIS BELIA HINDU MALAYSIA  APRIL 2000
மலேசிய இந்து இளைஞர் பேரவை - செய்தி மடல்